Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Jumaat, 16 Januari. - Sukan Para ASEAN Ke-13 2025 dijadual berlangsung secara rasminya mulai 20 hingga 26 Januari 2026 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Sehubungan itu, seramai 21 orang ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) terdiri daripada 12 orang atlet dan sembilan orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia / Safeguarding, Fisioterapi, Jurulatih dan Penolong Jurulatih berlepas ke Thailand hari ini bagi menyertai kejohanan tersebut.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan seterusnya memberikan kata-kata nasihat ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly serta pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan, Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan dan keluarga kontinjen.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Shahram bin Haji Abd. Rahman dan diteruskan dengan sesi bergambar ramai sebelum mereka berlepas.
NBD dalam temasya Sukan Para ASEAN Ke-13 ini akan menyertai tiga acara sukan daripada 19 sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga, renang dan tenpin boling.
Sementara itu, Chef de Mission, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abd. Ghafor ketika ditemui menjelaskan, para atlet membuat persiapan selama hampir setahun dan pada kali ini, lapan atlet menyertai sukan olahraga, tiga atlet mewakili tenpin boling dan sorang atlet dalam sukan renang.
Melihat akan kebolehan para atlet, beliau berharap para atlet akan membawa pulang beberapa pingat seperti Sukan-sukan Para ASEAN sebelum ini insyaaAllah.